Saturday, September 27, 2014

# sembang munakahat

Hukum Meminang

Haram meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain sekiranya pinangan tersebut telah diterima. Akan tetapi, peminangan itu menjadi harus sekiranya lelaki pertama memberi izin kepada lelaki kedua, ataupun pinangan lelaki pertama tidak dijawab. Jika lelaki kedua meminang perempuan yang telah dipinang oleh orang lain dan seterusnya bernkah dengannya, akad nikah tersebut adalah sah, tetapi lelaki kedua itu menanggung dosa perbuatannya ...meminang tunangan orang.

Nabi SAW bersabda " Seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya (saudara seagama) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan pinangan) atau dia mengizinkan peminangan itu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Monday, January 9, 2012

Beberapa Hukum Talak

Ulama' berpendapat hukum talak berubah-ubah mengikut beberapa situasi yang berbeza.Adakalanya hukum talak adalah haram, dan ada ketika yang lain ia adalah wajib, sunat, makruh dan juga harus.

1. Haram - ketika isteri sedang haid dan nifas serta ketika isteri sedang suci dan mereka telah melakukan persetubuhan.
2. Makruh - apabila tiada hajat atau sebab yang memaksa berlaku perceraian.
3. Wajib - apabila persengketaan semakin teruk dan tiada jalan untuk mereka dan para pendamai menyelesaikannya. Dan juga apabila isterinya dibuktikan berzina dan tidak mahu bertaubat. ...
4. Sunat - apabila isteri tidak patuh kepada Allah dan juga suaminya, dan apabila isteri sering mengucapkan kata-kata kesat kepada suami serta apabila suami khuatir dia akan mendorong isterinya melakukan perbuatan yang haram.
5. Harus - apabila suasana rumahtangga tidak tenteram dan damai.

Wallahua'alam.

Sunday, January 8, 2012

SOAL JAWAB MUNAKAHAT : PERCERAIAN (3)

Penjelasan Mengenai Lafaz Talak Ta’lik
 
Talak sah dilakukan secara terus (tanjiz) dan juga secara tergantung (ta’lik). Talak ta’lik bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, samada sifat atau syarat itu mempunyai hubungan dengan isterinya atau tidak.

Contohnya, suami mengaitkan jatuh talak dengan datangnya seseorang ke rumah mereka atau mengaitkan talak dengan tindakan tertentu yang dilakukan isterinya atau orang lain, seperti yang berikut :

1.       Aku ceraikan kamu apabila masuk tahun baru 2012.
2.       Aku ceraikan kamu jika bapa kamu datang ke rumah ini.
3.       Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini.
4.       Aku ceraikan kamu kalau abang kamu masuk ke dalam rumah ini.

Kesan talak ta’lik :
 
1.       Talak tidak akan jatuh selagi perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku.
2.       Suami-isteri masih boleh terus hidup bersama selagi perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku.
3.       Talak akan jatuh sebaik sahaja perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak berlaku.


Wallahua’lam.


Friday, December 16, 2011

SOAL JAWAB MUNAKAHAT; PERCERAIAN

Kekeliruan Tentang Lafaz Talak Ta’lik ; Bolehkah Ditarik Balik ?


SOALAN : Jika suami menyebut, “Kalau awak balik ke rumah mak awak, jatuh talak satu !”. Kemudian,  suami isteri tersebut telah berbaik semula dan suami menarik balik kata-katanya tadi. Keesokan harinya, mereka berdua telah balik ke rumah orang tua isterinya itu. Persoalannya, adakah jatuh talak satu sedangkan suami telah menarik balik kata-katanya dan isterinya balik ke rumah orang tuanya dengan kebenaran suami ? Adakah jatuh talak sekiranya suami tiada niat menceraikan isterinya, tetapi hanya berniat sebagai ugutan sahaja ?

JAWAPAN : Jumhur ulama’ bersepakat bahawa lafaz talak ta’lik tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan. Sekiranya lafaz talak adalah jelas, maka talak akan jatuh walaupun suami tiada niat untuk menceraikan isterinya.  Walaubagaimanapun, pasangan tersebut hendaklah segera membuat pengesahan lafaz cerai taklik di mahkamah syariah untuk mendapatkan kepastian. Wallahua’lam. 


Thursday, December 1, 2011

TOPIK PERBINCANGAN : SOAL JAWAB BAB PERCERAIAN

Suami jatuhkan talaq ketika isteri datang haid



Soalan
Adakah jatuh talak jika suami menceraikan isteri ketika isterinya itu sedang berhaid ?

Jawapan
Talaq tetap jatuh walaupun isteri masih dalam haid tetapi perbuatan suami adalah berdosa kerana menjatuhkan talaq ketika isteri dalam haid. Walaubagaimanapun, pasangan tersebut perlu membuat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah. Sekiranya mahkamah memutuskan lafaz itu sah, suami tersebut boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 1 tahun atau denda tidak lebih RM1,000.00 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 125, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 6/2002 Negeri Kelantan kerana melafazkan talaq diluar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah.