Friday, November 25, 2011

Doa Awal Tahun

Doa Akhir Tahun

AZAM DAN HIJRAH 1433H

Hari ini, 26 November 2011 adalah hari terakhir dalam tahun 1432H. Bermula waktu maghrib hari ini, kita akan melangkah ke tahun baru, 1433H, meninggalkan tahun 1432H dengan pelbagai kenangan dan pengalaman pahit manis, suka dan duka. Perlu diingat, selangkah kita menjejakkan kaki ke tahun baru bermakna selangkah kita menambahkan usia kita, dan semakin dekat jarak waktu untuk kita bertemu dengan Maha Pencipta.

Persoalannya, adakah kita sudah dan sentiasa bersiap-siaga menghadapinya? Sejauh manakah persiapan dan persediaan kita untuk mempersembahkan segala amalan dan kebaktian kita kepadaNya? Adakah kita yakin untuk diterima dan berada di kalangan ashabul yamin yang diredhaiNya dan seterusnya diganjari dengan syurgaNya? Ataupun kita bakal dihimpunkan dalam golongan ashabus syimal yang bakal dihumbankan ke dalam neraka? Na’uzubillah min zalik !!

Justeru, bertepatan dengan sambutan tahun baru 1433H ini, marilah bersama-sama kita menanamkan tekad dan azam untuk lahir sebagai hamba Allah s.w.t yang beriman dan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan olehNya, serta mampu meninggalkan segala amalan yang diharamkan dan dibenci olehNya.

Walaubagaimanapun, menarik juga untuk diperkatakan di sini tentang perbezaan di antara azam dan hijrah. Secara teorinya, azam adalah satu tekad, impian, cita-cita dan janji kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu. Biasanya seseorang akan membina azam pada setiap awal tahun, samada pada awal tahun hijri atau masihi. Menariknya, tidak semua azam yang kita bina itu berjaya dicapai dan dilaksanakan. Bahkan ada orang yang mengulangi (recycle ?) azam yang sama hampir setiap tahun. Ramai juga yang sekadar berazam tetapi azam tinggal azam..

Manakala hijrah pula adalah satu perbuatan (secara praktik dan amali) meninggalkan sesuatu perkara yang lama dan menggantikannya dengan sesuatu yang baru. Contohnya, mulai tahun baru ini, kita berhijrah dari seorang yang bersifat pemarah kepada menjadi seorang yang bersifat pemaaf dan lemah-lembut. Atau juga berhijrah dari seorang yang kuat merokok kepada seorang yang tidak merokok.

Nampak apa bezanya di antara azam dan hijrah? Ya, azam sebenarnya lebih bersifat retorik dan teori. Tidak semestinya apa yang kita azamkan akan menjadi kenyataan. Mungkin sesetengah orang akan menyerahkan kepada keadaan dan nasib, samada azam tahun barunya itu akan dapat direalisasikan atau dikuburkan begitu sahaja. Ataupun jika bernasib baik, azamnya itu boleh dikitar semula untuk tahun-tahun mendatang ! Sedangkan hijrah pula lebih bersifat praktikal dan segera. Tiada masa untuk berangan-angan dan bercita-cita. Masa yang kita ada pun bukannya panjang sangat, hanya 365 hari sahaja dalam setahun. Yang penting bila kita berhijrah, terus kita laksanakan hijrah tersebut tanpa ada rasa ragu-ragu, was-was dan malas. Dan tiada juga lagi alasan sibuk, tak sempat, busy,  masih belum sesuai, tak sampai seru dan pelbagai lagi alasan dan sebab yang mungkin munasabah dan mungkin juga tidak munasabah.

Kesimpulannya, sempena kedatangan tahun baru 1433H ini, marilah kita terus berhijrah ke arah yang lebih baik. Hayatilah hijratur-rasul dan hijratus-sahabah, yang apabila sampai kepada mereka arahan Ilahi untuk berhijrah meninggalkan Kota Mekah ke Madinah , tiada lagi alasan dan excuse. Terus mereka laksanakan hijrah itu dengan penuh keimanan dan kesungguhan. Begitu juga, apabila turunnya arahan daripada Allah s.w.t. tentang pengharaman sesuatu perkara seperti meminum arak, para sahabat r.a. terus membuang bertong-tong arak yang disimpan oleh mereka tanpa ada sebarang bantahan atau memohon penangguhan. Mereka terus berhijrah tanpa menunggu atau bertangguh-tangguh lagi. Semangat hijrah inilah yang perlu kita sematkan dan pasakkan dalam diri kita, agar apa sahaja azam tahun baru hijrah kita kali ini tidak sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Mungkin hijrah kali ini adalah yang terakhir bagi kita. Salam Hijraturrasul 1433H.