Monday, January 9, 2012

Beberapa Hukum Talak

Ulama' berpendapat hukum talak berubah-ubah mengikut beberapa situasi yang berbeza.Adakalanya hukum talak adalah haram, dan ada ketika yang lain ia adalah wajib, sunat, makruh dan juga harus.

1. Haram - ketika isteri sedang haid dan nifas serta ketika isteri sedang suci dan mereka telah melakukan persetubuhan.
2. Makruh - apabila tiada hajat atau sebab yang memaksa berlaku perceraian.
3. Wajib - apabila persengketaan semakin teruk dan tiada jalan untuk mereka dan para pendamai menyelesaikannya. Dan juga apabila isterinya dibuktikan berzina dan tidak mahu bertaubat. ...
4. Sunat - apabila isteri tidak patuh kepada Allah dan juga suaminya, dan apabila isteri sering mengucapkan kata-kata kesat kepada suami serta apabila suami khuatir dia akan mendorong isterinya melakukan perbuatan yang haram.
5. Harus - apabila suasana rumahtangga tidak tenteram dan damai.

Wallahua'alam.

Sunday, January 8, 2012

SOAL JAWAB MUNAKAHAT : PERCERAIAN (3)

Penjelasan Mengenai Lafaz Talak Ta’lik
 
Talak sah dilakukan secara terus (tanjiz) dan juga secara tergantung (ta’lik). Talak ta’lik bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, samada sifat atau syarat itu mempunyai hubungan dengan isterinya atau tidak.

Contohnya, suami mengaitkan jatuh talak dengan datangnya seseorang ke rumah mereka atau mengaitkan talak dengan tindakan tertentu yang dilakukan isterinya atau orang lain, seperti yang berikut :

1.       Aku ceraikan kamu apabila masuk tahun baru 2012.
2.       Aku ceraikan kamu jika bapa kamu datang ke rumah ini.
3.       Aku ceraikan kamu jika kamu keluar dari rumah ini.
4.       Aku ceraikan kamu kalau abang kamu masuk ke dalam rumah ini.

Kesan talak ta’lik :
 
1.       Talak tidak akan jatuh selagi perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku.
2.       Suami-isteri masih boleh terus hidup bersama selagi perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak itu masih belum berlaku.
3.       Talak akan jatuh sebaik sahaja perkara atau syarat yang dikaitkan dengan talak berlaku.


Wallahua’lam.